TEKS UCAPAN MAJLIS PENERANGAN MARL OLEH Y. A. M. TENGKU SRI TEMENGGONG RAJA


Yang Dihormati Saudara Pengerusi Majlis
Yang Berbahagia Tuan Haji Abullah Awang, Setiausaha Penaja M.A.R.L.,
Ahli-ahli Jawatankuasa Penaja M.A.R.L.,
Yang Berusaha Ahli Jawatankuasa Seluruh Persatuan Radio Amatur Pantai Timur,
Tuan-Puan yang dihormati sekalian.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Selamat petang dan salam 1 Malaysia,

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur kerana sudi menjemput saya untuk melancarkan ‘Program Jelajah Pantai Timur Memberi Taklimat Penubuhan Gabungan Persatuan-Persatuan Radio Amatur Malaysia / Malaysian Amateur Radio League (M.A.R.L.) ‘

Terima kasih juga kepada pihak Jawatankuasa Penaja M.A.R.L. dan seluruh majlis tertinggi seluruh persatuan radio amatur di Pantai Timur. Juga kepada individu yang memberi kerjasama dan sokongan yang berterusan secara langsung atau tidak langsung bagi menjayakan program ini dan M.A.R.L. Sesungguhnya kehadiran Yang Berbahagia Tuan-Puan dan semua ahli pada petang ini melambangkan sokongan padu kepada aktiviti Radio Amatur Malaysia.

 2.         Saya berasa amat berbangga dan mengucapkan syabas kepada seluruh warga Ham/Radio Amatur Malaysia, yang telah mengorak langkah untuk bersatu sejajar dengan perkembangan radio amatur Malaysia yang makin pesat dan seiring dengan negara lain.

Yang Berbahagia tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati,

3.         Sepertimana yang kita semua tahu, usaha ini dimulakan kerana sudah bertahun-tahun isu-isu yang melibatkan kepentingan semua operator radio amatur Malaysia masih belum dapat diselesaikan. Antara isu-isu tersebut ialah :
  • Masih tiada pihak yang dapat menjadi wakil rasmi semua atau majoriti radio amatur untuk berurusan dengan SKMM. Ini disebabkan oleh tiada badan rasmi yang mewakili semua radio amatur secara sah (dipersetujui oleh semua radio amatur)
  • Pendapat atau cadangan individu atau dari satu persatuan adalah lemah dan tentu sekali tidak akan mendapat perhatian yang sewajarnya
  • Pendapat majoriti operator radio amatur tidak dapat dikumpulkan secara rasmi untuk menguatkan usaha atau cadangan yang dapat memberi kebaikan kepada semua
  • Mana-mana persatuan yang sedia ada tidak sesuai menjadi pertubuhan induk untuk gabungan kerana perlembagaan masing-masing mendahulukan kepentingan ahli individu yang berhak untuk mengundi daripada individu atau persatuan yang menjadi ahli bersekutu sahaja. 
3.       Tuan-tuan yang dihormati sekalian,  penggabungan ini adalah berkesan kerana model gabungan industri ini dinyatakan di dalam CMA 1998 dan diguna pakai oleh SKMM - Kepentingan syarikat-syarikat telekomunikasi seperti Malaysian Access Forum Sdn Bhd dan Malaysian Technical Forum Sdn Bhd (pemegang sahamnya adalah semua sykt telekomuniasi di Malaysia).

Kepentingan pengguna-pengguna perkhidmatan telekomunikasi – Malaysian Consumer Forum (pertubuhan berdaftar di bawah Akta Pertubuhan yang mana ahli-ahlinya terdiri daripada semua persatuan-persatuan pengguna di Malaysia).

4.         Saya menyokong penuh penubuhan M.A.R.L. ini kerana ianya dapat dilihat mampu mempercepatkan inisiatif-inisiatif bersepadu untuk memberi keadilan yang saksama kepada semua persatuan dan individu radio amatur di dalam menangani isu-isu radio amatur yang sekian lama tertunggak.

Akhir kata, dengan lafaz Bismillahir Rahmanir Rahim saya dengan sukacitanya merasmikan ‘Program Jelajah Pantai Timur Memberi Taklimat Penubuhan Gabungan Persatuan-Persatuan Radio Amatur Malaysia / Malaysian Amateur Radio League (M.A.R.L.) ‘.